Pastikan perlindungan insurans kenderaan mencukupi

Originally published on Berita Harian. Read the full article here.


KUALA LUMPUR: Pemilik kenderaan perlu memastikan insurans yang dilanggan mereka mempunyai tahap perlindungan mencukupi, yang mana bukan saja melindungi kenderaan dan menampung kos tuntutan mahal sekiranya berlaku kemalangan tetapi juga menawarkan mereka dengan ketenangan fikiran ketika memandu di jalan raya, demikian kata pakar insurans.

Ketua Barisan Peribadi Liberty Insurance Bhd, Judy Liu, berkata walaupun perlindungan pihak ketiga mungkin mencukupi untuk pemilik kereta memperbaharui cukai jalan dan memandu secara sah di jalan raya, ia hanya menyediakan tahap perlindungan minimum kepada pemilik kereta sekiranya berlaku kemalangan, yang mana seseorang mungkin tidak dapat menuntut untuk sebarang kerosakan pada kenderaan mereka sendiri.

Beliau berkata, jika pemegang polisi berharap untuk menuntut ganti rugi kenderaan mereka sendiri, perlindungan komprehensif mungkin lebih sesuai dan sebagai tambahan kepada perlindungan pihak ketiga, kerugian kepada kenderaan mereka sendiri dilindungi daripada kemalangan jalan raya atau sekiranya berlaku kecurian atau kerugian kebakaran.

Sementara itu, katanya, polisi Kebakaran dan Kecurian Pihak Ketiga pula melindungi pemilik kereta daripada tuntutan pihak ketiga, sama ada kecederaan badan atau kematian, kehilangan atau kerosakan harta benda, yang juga termasuk kerugian atau kerosakan pada kenderaan mereka sendiri akibat kebakaran atau kecurian yang tidak disengajakan.

"Selain perlindungan pihak ketiga, polisi Kebakaran dan Kecurian Pihak Ketiga melindungi pemegang polisi daripada jumlah kerugian kenderaan mereka akibat kebakaran atau kecurian. 

"Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa ia tidak melindungi kerosakan yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya kerana perlindungan itu hanya tersedia daripada polisi komprehensif," katanya kepada BH dalam satu temubual menerusi emel.

Liu berkata, secara amnya, sebelum membeli apa-apa jenis insurans motor, pemilik kereta mesti memahami pelbagai jenis polisi dan perlindungan yang ditawarkan.

Beliau berkata, walaupun pemilik kereta mungkin menjimatkan sedikit wang dengan perlindungan paling asas, adalah terbaik untuk menilai dan memilih berdasarkan keperluan dan keadaan mereka.

"Salah satu cara untuk benar-benar memahami perkara yang anda perlukan ialah membaca Helaian Pendedahan Produk polisi untuk mengetahui perkara yang disertakan dan dikecualikan, atau lebih baik lagi, berunding dengan ejen, yang mana seseorang itu akan mendapat penjelasan lanjut. 

"Tidak lupa, pemegang polisi hendaklah sentiasa menginsuranskan kenderaan berdasarkan nilai pasaran kereta mereka," katanya.

Mengenai polisi insurans Pihak Ketiga Kebakaran dan Kecurian ditawarkan Liberty Insurance, Liu berkata, walaupun kebanyakan polisi Kebakaran dan Kecurian Pihak Ketiga mungkin kelihatan sama antara satu sama lain, pihaknya sentiasa memastikan keselamatan pemegang polisi dan pengalaman perjalanan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan.

Beliau berkata, sebagai penyedia insurans dalam pasaran Malaysia selama 44 tahun, pihaknya memahami bahawa banyak faktor dipertimbangkan dari segi pemilihan polisi seperti kualiti perkhidmatan penyedia insurans.

"Berpegang pada falsafah teras kami iaitu 'Mendahulukan Orang Ramai', kami sentiasa cuba meletakkan diri kami di tempat pelanggan untuk memahami perkara yang mereka mahu dan perlukan sebagai pemegang polisi untuk berasa selamat, dilindungi dan aman.

"Oleh itu, kami percaya untuk terus berusaha menjadi lebih baik dalam setiap cara yang mungkin, sama ada menghasilkan pakej insurans atau perkhidmatan selepas jualan terbaik, seperti mitigasi risiko dan menyediakan tuntutan tanpa kerumitan," katanya.

 


Print