Liberty Mutual Insurance terima kelulusan MoF ambil alih AmGeneral

Astroawani.com

Wednesday, 29 June 2022

KUALA LUMPUR: Liberty Insurance Berhad (LIB), sebuah syarikat subsidiari Liberty Mutual Insurance (Liberty), telah menerima kelulusan daripada Menteri Kewangan untuk mengambil alih AmGeneral Insurance Berhad (AmGeneral). 

Setakat hari ini, AmGeneral dimiliki oleh AmBank Group (AmBank) sebanyak 51% dan 49% lagi dimiliki oleh Insurance Australia Group (IAG). 

Apabila perjanjian termeterai kelak, yang mana tertakluk kepada syarat-syarat penutupan yang ditetapkan, LIB bakal mengambil alih 100% saham daripada AmGeneral. 

Hasil jualan daripada saham AmBank adalah dalam bentuk tunai dan syer bersyarat, yang bakal menjadikan AmBank sebagai pemegang saham sebanyak 30% daripada perniagaan LIB dan AmGeneral. 

"LIB menjangkakan perjanjian jual beli akan ditandatangani pada bulan Julai 2022. Pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat," kata syarikat itu dalam kenyataan di sini semalam. 

Sebagai sebahagian daripada transaksi ini, entiti yang akan digabungkan akan memeterai satu kerjasama bankasurans eksklusif dengan AmBank selama 20 tahun untuk mengedarkan produk insurans am. Operasi AmGeneral dan LIB bakal digabungkan secara rasmi pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak. Presiden Peruncitan Global Pasaran Timur & Ketua Pegawai Operasi Liberty Mutual, Defne Turkes berkata, “Ini merupakan satu detik transformasi bagi Liberty di Malaysia.”

“Kelulusan ini memperkukuhkan lagi proses bagi menyempurnakan perjanjian dan integrasi dengan AmGeneral, dan juga menzahirkan kejayaan yang bakal dicapai bersama,” kata beliau. 

Beribu pejabat di Kuala Lumpur, Liberty Insurance Berhad (LIB) disokong oleh 450 warga kerja dari 6 pejabat serantau dan 24 cawangan di seluruh negara. 

Syarikat ini menawarkan produk insurans peribadi, komersial dan produk lain melalui saluran yang luas termasuk 2,000 ejen insurans, pemegang francais, pengedar kereta dan rakan bankasurans. - DagangNews.com

 

Read the full article here


Print